Sunday, April 7

ATM Machine!

Hi semua! Post kali ni nak kongsi tentang pengalaman aku berkawan dengan seorang perempuan ni. Bukan untuk mengutuk tapi untuk dijadikan pengajaran kita bersama. Aku akan ceritakan pengalaman aku ni di dalam bentuk cerpen/sebuah cerita. Jom baca!


        Penghuninya 8 orang. Ditambah 2 jadi 10. Namun, hanya 8 orang sahaja yang diperlukan untuk mengisi setiap ruang kosong di dalam rumah itu. Nombor rumah 4B15 dihuni oleh pelajar-pelajar semester 1 yang masih mentah tentang alam universiti. Dihuni oleh mereka yang masih kosong tentang alam yang jauh berbeza dari alam persekolahan. “Hai! Nama aku Atin. Aku dari Cyberjaya”, Atin memperkenalkan dirinya kepada aku. Rakan serumah aku yang agak boyish namun tetap ada sedikit ciri keperempuanan. Aku yang pada ketika itu sedang sibuk membersihkan muka dari segala solekan hanya membalas, “Oh hai. Fara, Seremban” kemudian aku kembali memandang muka ku ke arah cermin. “Hm mesti dia ingat aku ni kerek kan?”, desus hati aku. Sempat aku melemparkan satu senyuman yang manis ke arah Atin dan 3 orang lagi rakan serumah ku yang lain sebelum aku masuk ke dalam bilik. Aku ditempatkan di dalam bilik yang diisi dengan jumlah 4 orang. Pada mulanya, aku sangat tidak selesa kerana ruangan bilik yang sempit dan sangat tidak selesa!!. Perlahan-lahan aku cuba untuk menerima. Ina, Alin dan Lena menjadi teman sekamarku. Mereka semua baik. Durasi perkenalan yang singkat namun aku tahu mereka mampu menjadi teman aku selama 6 bulan ataupun sampai bila-bila. 

           “Siapa lagi budak teater eyh?”, tanya seorang rakan serumah ku yang wajahnya ada iras-iras bangsa cina kepada rakan sekamarku, Lina. Lina dengan pantas menundingkan jari ke arah aku. Aku yang pada ketika itu sibuk melipat baju terhenti seketika melihat ada tangan yang menghulur ke arah aku. “Neerah, Johor”, kata dia lembut. Aku berdiri dan memperkenalkan diri aku seperti biasa. Malam itu 8 orang anak gadis yang berasal dari serata negeri di Malaysia ini duduk di ruang tamu dan menceritakan pengalaman masing-masing sebelum melangkah ke alam universiti. Pelbagai ragam yang aku temui. Hati aku ikhlas berkawan dengan mereka dan aku juga mengharapkan perkara yang sama dari mereka. Niat ku hanya satu, aku ingin menimba pengalaman yang baru di dalam hidupku. “Eh korang jomlah masuk tidur. Esok kita kena bangun pukul 4.00 pagi tau”, kata Najiha yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang. “Aduh penatlah kalau hari-hari macam ni. Tengok mata aku. Bengkak dah”, sambut Ina yang sering berperwatakan manja dengan keluarganya. Aku agak pelik dengan kelakuan Neerah kerana dia seorang sahaja yang berkata bahawa dia masih belum mengantuk padahal jam sudah menunjukkan pukul 2.30 pagi. Dari pagi hinggalah ke malam, aktiviti memang padat kerana minggu orientasi masih belum berkahir. Dia tidak penatkah? Mata dia boleh tahan? Dia nak buat apa-apa ke? Bermacam persoalan mula bermain di kotak fikiran aku. 

            Pagi-pagi lagi aku dikejutkan dengan tangisan Najiha. Aku bangkit dari tidur ku yang lena dan terus pergi ke arahnya yang sedang dipeluk oleh Neerah. “Duit Jiha hilang 50 weh”, kata Neerah dengan nada yang agak cemas. “Huh?! Hilang? Kau letak dekat mana?”. “Molek ja aku letak dalam bag. Mustahil boleh hilang”. Aku mula hairan. Masakan ada toyol masuk rumah? Atau….eh jangan berprasangka buruk terhadap orang lain. Pada ketika itu Neerah seakan resah dan mencari sesuatu. Aku meringankan mulut untuk bertanya, “Kau…kau kenapa?”. “Duit aku pun hilanglah! Hilang 20!”, jawabnya ringkas. Segara aku memanggil rakan serumahku yang lain dan menceritakan pada mereka. “Ish ni bahaya ni! Kita kena jaga barang kita semua elok-elok”, kata Atin. “Aku tak halalkan duit tu. Biar pada muka orang yang…..”, kata Najiha dengan nada yang marah dan kuat. “Weh tak baiklah cakap macam tu! Halalkan aje laa”, potong Neerah dengan pantas. Halal? RM 50.00 tu satu jumlah yang agak besar bagi seorang pelajar. Duit makan selama 5 hari pun boleh jadi tu kalau pandai berjimat cermat. Siapa yang mengambil? Siapa pula yang berani masuk ke dalam rumah sedangkan pintu rumah sering dikunci? Semakin banyak persoalan yang dipersoalkan kepada diri kami semua. Hati ini tidak mahu menuduh sesiapa. Semua telah dianggap seperti adik-beradik. Namun, tetap kena berwaspada dan saling mengingati. Tapi....siapa ya?

       Selang beberapa hari ada saja yang mengadu kepada aku dan berkata duit mereka hilang. Najiha yang pertama, Neerah yang kedua, Alin yang ketiga dan Ina yang keempat. Biar betul? Betul. Misteri kehilangan duit Ina lagi dahsyat dan jumlah kehilangannya lagi hebat. RM 300.00. Duit konsert k-pop kawan Ina. Neerah saksi kejadian. Kata dia, dia nampak seperti lembaga hitam masuk ke rumah dan membuka laci Ina dan mengambil duit Ina. Pelik? Itulah yang dicerita. Mujur Ina dari golongan keluarga yang berada, jadi dia sedikit tidak kisah namun jauh di sudut hati, aku tahu dia kecewa. “Takpelah, nanti aku ganti balik duit kawan aku tu”, keluh Ina. Kesian aku melihat nasib rakan-rakan serumahku. Aku agak terkejut apabila Neerah menyoalku, “Semua dah pernah hilang duit. Fara, kau belumkan?”. Aku hanya menggelengkan kepala. Kenapa mesti dia tanya soalan macam itu kepada aku? Dengan pantas aku memeriksa jumlah duit yang masih ada di dalam dompetku. Cukup. Semuanya cukup. Pementasan teater Lagenda lagi beberapa hari. Semua pelajar pengurusan industry kreatif bergerak ke Dewan Sri Budiman, UiTM Shah Alam untuk melakukan kerja-kerja pembikinan props. Rakan serumahku Atin, Najiha dan Lena turut terlibat. Di sana, mereka bertiga berbincang kerana mereka pelik ada saja kes kehilangan duit di dalam rumah 4B15 itu. “Kau rasa-rasalah siapa yang amik?”, soal Atin kepada Najiha dan Lena. “Ish tak naklah tuduh tapi aku rasa macam aku tahu siapa”, kata Lena. “Takkan lembaga hitam masuk rumah? Lembaga? Siang pula tu! Tak logiklah!”, tambah Atin yang seakan-akan geram. Dalam kiraan 1, 2, dan 3, mereka semua menyebut nama yang sama, “Neerah!!”. “Wow! Tekaan kita sama! So..betul laa dia?”, kata Atin dan dengan segera Najiha dan Lena menggangguk tanda setuju. Kalau diingat semula kes Najiha hilang duit dulu, hanya dia dan Neerah saja yang duduk di dalam bilik itu. Tiada siapa yang berani masuk sebab Neerah dah warning rakan yang lain, “Hanya aku dengan Jiha je boleh masuk bilik ni. Yang lain tak boleh. Okay?”. Jadi memang mereka berdua sajalah yang keluar masuk bilik itu. Boleh pula duit hilang sedangkan Najiha letak elok je dalam bag? Siapa lagi yang tahu kalau bukan............

       Semester 1 berakhir dan meninggalkan sejuta kenangan pahit dan manis yang tidak dapat dilupakan. Kini, pengajian aku bersama rakan-rakan yang lain sudahpun berada di semester 2. Macam biasa, satu rumah dikongsi 8 orang pelajar. Kali ini sem ini berbeza kerana aku, Alin, Eha dan Neerah ditempatkan serumah dengan senior-senior semester 4 dan 5. Suka? Pada mulanya mulut ni tak habis-habis mengomel tentang kehadiran mereka di dalam rumah. Lama-kelamaan perasaan suka dan sayang timbul kerana mereka semua baik-baik belaka. “Nama akak, Kak Jie, yang ini Kak Faz. Akak dari Pahang dan dia dari Johor”, tutur Kak Jie lembut. Kami bersalaman dengan mereka dan turut memperkenalkan diri masing-masing. “Assalammualaikum semua! Nama akak, Kak Ray dan seorang lagi kejap lagi dia naik, nama dia Kak Daya”, Kak Ray yang manis bertudung memperkenalkan dirinya sebaik sahaja dia melangkah masuk ke rumah. Aku dan rakan lain hanya melemparkan senyuman ke arah mereka bertiga dan masuk semula ke dalam bilik. “Ish tak bestlah serumah dengan senior ni”, rungut aku. “Tu laa. Nanti mesti kita lepak je dalam bilikkan?”, sambut Alin yang lama mendiamkan diri. Itulah antara perbualan yang masih aku ingat pada hari pertama kami mendapat tahu yang kami semua serumah dengan senior. Perhubungan kini semakin rapat dengan Kak Ray, Kak Daya, Kak Faz dan juga Kak Jie. Sebarang masalah berkaitan dengan pelajaran akan diaju kepada mereka kerana lebih arif tentang hal-hal sebegitu. Seperti kebiasaan, hari Jumaat, aku akan pulang ke rumah untuk menghantar baju-baju kotor dan basuh di rumah serta meluangkan hari Sabtu dan Ahad bersama yang tersayang. Sesuatu perkara yang tidak dijangka terjadi pada hari Sabtu pagi. Aku pulang pada hari Ahad dan aku segera menanyakan pada Kak Jie tentang apa yang terjadi. “Duit akak hilang 100 Fara”, keluh Kak Jie. Duit itu pemberian abah Kak Jie dari kampung. “Eh macam mana boleh hilang Kak Jie? Banyak tu!”, soal aku. “Akak tidur dengan Neerah, Jiha dekat hall. Alin tidur dalam bilik. Akak letak dompet akak atas katil dalam bilik. Akak bangun tidur, akak rasa tak sedap hati, akak check dompet tengok duit 100 tu tak ada”, terang Kak Jie panjang lebar. Aku semakin musykil apabila aku dan Kak Jie berdua saja bercerita dan Kak Jie ada berkata, “Siapa yang ambil duit akak tu, akak akan pastikan dia tak lulus exam! And kena repeat”, kepada Najiha, Neerah, Alin dan Kak Faz. Dengan pantas Neerah membalas, “Eh kak! Tak baiklah doa macam tu. Biar jelah dia amik”. Kak Jie turut musykil apabila hanya dia seorang yang membuka mulut dan memarahi Kak Jie apabila dia berkata begitu. Kata-kata itukan satu doa. Mungkin dia takut. Mungkin. Dari semester 1 lagi kes kehilangan duit banyak terjadi di dalam rumah yang aku huni. Aku ada juga meringankan mulut bertanya pada rakan yang duduk di rumah yang lain kalau-kalau di rumah mereka ada kehilangan duit seperti kes di rumah aku, namun mereka kata tiada. Sesungguhnya, kepercayaan itu sangat penting di dalam sesebuah perhubungan. Tidak kira samaada hubungan persahabatan mahupun percintaan. Aku naik risau dengan perkara yang terjadi. Kes semester yang lepas masih lagi tidak diketahui angkara siapa. Ada yang tahu ada yang tidak. Ingin menuduh itu bukan aku. Aku tidak ada langsung rasa buruk terhadap kawan-kawan aku. Aku sentiasa ikhlas berkawan dengan mereka. Angkara siapa ya?

        Hari Jumaat penghulu segala hari. Hanya satu kelas saja yang aku perlu hadiri setiap hari Jumaat. Detik-detik akhir semester 2 kian terasa. Segala tugasan berjaya disiapkan. Habis sahaja kelas aku, Neerah, dan Ushi akan bergerak ke kafe untuk menikmati juadah tengahari. Berbual kosong bagi memecahkan sunyi di antara kami. Usai urusan makan di kafe, masing-masing pulang ke rumah. Aku mengambil peluang yang ada untuk tidur. Begitu juga dengan rakan sekamarku, Neerah. Dia juga ingin tidur katanya. Tepat jam 5.30 petang aku bangkit dari tidur yang agak panjang. “Fara, aku ingat nak pergi koperasilah. Nak beli makanan sikit”, kata Neerah kepada ku dan aku hanya mengganggukkan kepala. Dia turun dari katil double-decker itu dan mencapai tuala lalu ke bilik air. “Aku pun lapar juga ni. Dapat makan Maggie syok juga kan”, bisik hati kecil ku. Sesudah Neerah habis mandi giliran aku pula untuk mandi dan dia bersiap-siap untuk turun ke bawah. Aku membuka almari baju ku dan mengeluarkan dompet dan tab ku dan meletakkannya di atas meja belajar di ruang tamu. Aku kembali masuk ke bilik untuk memakai baju. Hanya aku seorang di dalam bilik. “Weh Fara, aku nak keluarkan duit dekat ATM dulu tau”, kata Neerah dan dia terus berlalu pergi. Tidak sempat untuk aku cakap “Okay” atau apa saja. Aku dah siap aku dah wangi aku keluar dari bilik dan aku menarik RM 10.00 dari dompet ku dan terus keluar meninggalkan rumah. Tidak sempat untuk aku sampai ke bawah aku terima satu mesej yang membuatkan aku terpaku, terdiam. “Withdrawal RM 20.00 from your account………”. Aku tergamam. Aku segera memeriksa kad bank yang aku tempatkan di dalam dompet ku. Tiada. Tangan dan kaki aku mulai sejuk. Aku berlari naik ke rumah dan menceritakan pada Kak Faz dan Najiha yang ketika itu sedang leka bermain game. Kak Faz dengan selambanya berkata, “Neerah laa yang amik. Siapa lagi”. Aku terdiam. Aku seperti tidak percaya dengan apa yang terjadi. “Okay, Fara letak balik purse Fara atas meja tu sebab Fara nak dia pulangkan balik kad Fara”, terang aku kepada Kak Faz dan Najiha. Aku cemas. Aku kembali masuk ke dalam bilik dan Neerah pulang ke rumah. Aku tidak memandang muka dia. Hati aku panas dan sakit. Aku segera turun ke bawah dan sempat mengenyitkan mata ke arah Kak Faz tanda berjaga-jaga. Aku melihat kembali mesej yang dihantar oleh Bank Islam itu. Aku sedih dengan perbuatan dia. Tergamak? Tidak rasa bersalah? Kenapa buat macam itu dekat aku? Aku kawan baik kau! Aku mengomel sendiri. Aku pulang semula ke rumah dan aku segera menarik dompet ku dan aku masuk ke dalam bilik. Perlahan aku buka dompet ku, ya kad bank aku ada semula. Sah! Dialah yang mengambil duit aku. Aku hanya mendiamkan diri. Aku ber-bbm dengan Kak Faz. Segalanya aku ceritakan. Pada sebelah malam, aku menceritakan pada Atin. Bekas rakan serumahku pada semester lepas. Atin berkata, “You know what aku keluar dari rumah aku sebab dialah! Eha knows everything. Aku cerita semua dekat Eha. Kau tahu, pukul 6 pagi dia pernah masuk bilik aku pergi dekat laci aku because she knows dekat mana aku letak dompet aku. Bila aku tersedar, dia lari. Memang dia!”, terang Atin kepada aku. “Selama ni semua orang tuduh dia kalau ada duit hilang!”, tambah Atin. Aku hanya mendiamkan diri. Aku seperti tidak sangka. Masih belum ada serangan yang dilakukan terhadap Neerah. Aku pulang ke Seremban dan aku menceritakan perkara yang terjadi kepada keluarga ku. “Jumlah yang dia amik tu kita tak kisah, tapi perbuatan tu yang kita kisah”, kata mama ku. Tergamak dia melakukan perkara hina itu. Mencuri? Kalau tiada duit, boleh minta. Duit Kak Jie hilang, Kak Jie tuduh dia. Sebab? Hanya dia seorang saja yang kecoh dan hanya dia seorang saja yang akan dapat tahu dahulu kalau ada kes kehilangan duit. Kes lembaga hitam? Hanya dia yang nampak.

        Bukan sahaja aku kehilangan duit malah aku juga kehilangan kasut yang paling aku sayang dan jarang aku pakai. Kata Alin, “Sebelum dia balik kasut tu ada malam yang aku tengok tu. Esok tu dia balik, dengan kasut tu sekali tak ada Fara”. Mendengar kata-kata Alin membuatkan aku semakin marah. Aku, Jiha, dan Alin menyindir Neerah di Twitter dan perkara itu membuatkan dia mengaku dengan sendiri. Memang dia mengaku dia yang mencuri duit aku. Aku tidak lagi mahu melihat muka dia. Darah aku akan naik apabila aku berhadapan dengan dia. Rabu malam, malam yang aku nanti. Aku bersua muka dengan dia. Aku bertanya kenapa dan terus bertanya kepada dia. “Aku malu nak pinjam dekat korang, aku malu nak minta dekat parents aku. Aku terdesak Fara”, kata Neerah. “Oh mencuri kau tak malu?! Kau tahu benda tu membuatkan kau lagi malu sebab tak ada siapa nak kawan dengan kau lagi lepasni”, balas aku marah. Kepercayaan aku terhadap dirinya sudah tiada. Bukan aku saja malahan semua. Satu batch aku tahu cerita. Aku tidak menceritakannya pada sesiapa. Tetapi dia. Dia yang membuka pekung di dada. Atin, Alin, Jiha, Ushi, Kak Faz dan aku bersua muka dengannya. Mati-mati dia tidak mengaku. Terus terang aku katakan, hati ini sudah tawar untuk berkawan bersama dia. Hati ini mati dek kerana perbuatan keji. Mencuri itu keji. Aku tidak kisah dengan jumlah kau curi tapi ingatlah perbuatan kau yang membuatkan aku akan menjauhkan diri. Semuanya telah terbongkar kini. Mana kau nak lari? Aku sangat suka dengan kata-kata pedas Atin, “Kitaorang bagi kau peluang. Peluang untuk kau cari kawan yang baru. Itupun kalau ada yang nak terima kaulah”. Aku cukup geram apabila dia menunjukkan mukanya yang tidak bersalah itu. Aku bersumpah kau tidak akan selamat selagi kau tidak mahu mengaku.

TAMAT

Ini kisah benar. Tiada apa yang diubah kecuali nama. Maaf dipinta. Hanya ingin berkongsi cerita. Jangan terlalu mudah untuk mempercayai kelak ia akan memakan diri :)